Friday, July 23, 2010

PERTANDINGAN BLOGGING 2010 - ENTRI KETUJUH BELAS

Akhirnya... Interviu bersama Mama adalah entri yang aku lakukan untuk mengakhiri pertandingan ini... Terima Kasih...

Perasaan saya???

Kali ini, aku berasakan bahawa Pertandingan Blogging 2010 telah membuka mata aku. Oleh sebab kita boleh menggunakan blog untuk kelas Melayu. Ia adalah sebuah pengalaman yang menarik dan yang terindah bagi diriku... Aku berharap pada masa hadapan akan ada banyak lagi pertandingan sebegini...

Aku turut sertakan sebuah sajak tentang diriku dan Melayu(walaupun aku tidak mahir) untuk mengakhiri entriku.

Dunia adalah pengalaman yang terindah...

Zaman bayi, remaja dan dewasa, tiada bezanya...

Ada kalanya sedih, ada kalanya gembira...

Dalam jalan hidup seorang Nabilah...

Aku mempunyai minat, sama seperti orang lain...

Tetapi berbeza daripada orang lain...

Walau apa-apapun, aku tetap membaca buku...

Membaca buku Bahasa Melayu...

Kekalkan Budaya Melayu kerana,

Pahlawan kita Hang Tuah berkata...

Tidak akan Melayu Hilang Di Dunia...

Lestarikanlah Budaya kita...

Supaya Tidak Luput Selamanya...

Jumpa Lagi kalau ada kesempatan!!

Thursday, July 22, 2010

PERTANDINGAN BLOGGING 2010 - ENTRI KEENAM BELAS


Akhirnya...

Aku dapat memuatnaikkan video tentang interviu yang aku lakukan bersama ibu saudaraku...pada 22 Julai 2010....di rumah makcikku...dia agak terkejut apabila aku menyebut tentang interviu... Agak keberatan pada mulanya tetapi akhirnya dia lakukannya. Terima Kasih...

Tunggu nanti untuk interviu kedua bersama mamaku yang tercinta... Jumpa lagi...

Wednesday, July 21, 2010

PERTANDINGAN BLOGGING 2010 - ENTRI KELIMA BELAS

21 Julai 2010

Hari Keharmonian Kaum
Aku, Fasya, Shafiq dan Shifaa telah membuat persembahan di atas pentas. Kami berkongsi tentang pengalaman kami ke Brunei Darussalam selama 4 hari(21-24 Jun). Ketika itu, kami bercadang untuk memakai pakaian tradisional. Aku memakai Baju Kurung. Fasya pula memperagakan pakaian Orang India. Shafiq pula berpakaian Orang Benggali. Shifaa comel dalam Baju Kebaya merah jambunya.

Perasaan Aku??
Sudah tentunya gementar. Darah gemuruh katakan... Walaupun aku sudah berkali-kali menaiki pentas, sama ada melakonkan sketsa, menerima hadiah, membuat persembahan Angklung dan Kulintang ketika sekolah rendah dan berucap di khalayak ramai pada waktu pagi ataupun semasa adanya perhimpunan sekolah. Kali ini juga sama. Tetapi, alhamdullillah, akhirnya aku berjaya berkongsi pengalaman kami di negara Brunei bersama rakan-rakan sekolah. Adalah sekali-sekala tersasul dan gagap. Aku anggap itu perkara lumrah.


Gambar saat tengah khysyuk menghafal ucapan... kenangan terindah... Comel tidak? Masuk Bakul Angkat Sendiri...

Tuesday, July 20, 2010

PERTANDINGAN BLOGGING 2010 - ENTRI KEEMPAT BELAS

Ini aku telah menuatnaikkan sebuah slaid...
Silalah menonton...

Wednesday, July 14, 2010

PERTANDINGAN BLOGGING 2010 - ENTRI KEDUA BELAS

Adat Persandingan di Singapura.

Adat nikah dijalankan oleh Tuk Imam ataupun Jurunikah. Pengantin lelaki akan mendengar khutbah daripada Tuk Imam tentang tanggungjawabnya sebagai seorang suami mengikut syariah Islam. Pengantin perempuannya pula akan menunggu di bilik untuk menandatangani borang sah nikah.
Tetapi di Singapura sekarang semakin ringkas bagi upacara perkahwinan. Walaupun megah dan meriah, pengaturannya amatlah ringkas sekali. Para pasangan kini sudah mula tidak mengikut adat-adat perkahwinan Melayu kerana mungkin mereka berasakan bahawa ianya menyusahkan dan mengambil masa yang lama.

Abang saudara saya yang berkahwin setengah tahun yang lalu menggunakan khidmat Mak Andam untuk menguruskan hari persandingannya. Ibu dan Bapa saudara saya pula hanya memberi lampu hijau sahaja. Jadi sebab itu saya rasakan pada zaman sekarang, proses perkahwinannya ringkas sahaja...

Tuesday, July 13, 2010

PERTANDINGAN BLOGGING 2010 - ENTRI KESEBELAS

ADAT MEMINANG DI SINGAPURA.

Adat meminang merujuk kepada kedua-dua belah pihak yang bersetuju dalam menentukan hari dan waktu meminang, mas kahwin, hantaran, jumlah belanja hangus, hari dan waktu persandingan bersama dengan akad nikah. Kemudian, sehinggalah pada hari pertunangan, tiada apa yang perlu dibincangkan. Tambahan pula, dalam tempoh tersebut, pihak lelaki akan menyediakan barangan yang diperlukan oleh pihak perempuan dan sebaliknya. Lazimnya, pihak lelaki akan memberikan hantaran sebanyak 7 dulang manakala, pihak perempuan akan membalasnya dengan nombor ganjil.

Saat hari pertunangan, pihak lelaki dan perempuan akan berbincang tentang tarikh perkahwinan termasuk dengan syarat-syarat yang dikenakan. Sebelum itu, pasangan tunangan itu akan menyarungkan cincin. Selalunya ibu saudara lelaki akan berkesempatan untuk menyarungkan cincin ke jari manis si gadis yang berpakaian indah.

Monday, July 12, 2010

PERTANDINGAN BLOGGING 2010 - ENTRI KESEPULUH

ADAT PERKAHWINAN DI SINGAPURA

Adat perkahwinan di Singapura tidak banyak berbeza seperti di Brunei. Tetapi di Singapura, adat berbedak sudah tidak dilakukan lagi, begitu juga dengan adat berbasuh kaki. Dahulu adat merenjis air mawar dipraktikkan tetapi sudah jarang dilakukan pada masa kini. Perhiasan pelamin juga sudah banyak berbeza. Kebanyakannya kini mengikut konsep Barat. Di Singapura juga tiada adat Pusingan Naga. Pokoknya, persandingan di sini sudah jauh berbeza dari adat Melayu lama.

Adat Makan Bersuap masih dilakukan tetapi hidangan yang disediakan sama seperti untuk para jemputan.

Adat Mulih 3/7 Hari tidak dipraktikkan di sini.

Pantang larang yang tidak membenarkan pengantin perempuan untuk keluar dari rumah selama 40 hari tidak dilakukan di sini juga. Selalunya, selepas hari persandingan, sepasang mempelai akan mengunjungi mertua. Mereka juga akan bertandang ke rumah saudara-saudara yang lebih tua bagi kedua belah pihak. Tidak menjadi kemestian tetapi lazimnya pasangan pengantin akan pergi berbulan madu.

Sunday, July 11, 2010

PERTANDINGAN BLOGGING 2010 - ENTRI KESEMBILAN

SELEPAS BERSANDING

ADAT MAKAN BERSUAP


Adat Makan Bersuap pula ialah adat resam yang mana pengantin perempuan akan menyuap pengantin lelaki itu dengan tangannya sendiri. Selalunya, lauk yang disediakan ialah Nasi Kuning, Air, Garam dan Asam. Adat ini dilakukan untuk menambahkan kemesraan antara kedua mempelai itu.


ADAT MULIH 3/7 HARI


Pengantin Lelaki dan isterinya akan pulang ke rumah suaminya selama 3 atau 7 hari dan sebaliknya dilakukan di sebelah isteri. Lazimnya, keluarga lelaki akan memberi hadiah dalam bentuk keperluan rumah sebagai penamatnya upacara Perkahwinan Orang Brunei.




sumber daripada | http://www.perkahwinanku.biz/My_Homepage_Files/Page24.html
http://www.google.com.sg/imglanding?

Saturday, July 10, 2010

PERTANDINGAN BLOGGING 2010 - ENTRI KELAPAN


ADAT BERBASUH KAKI

Adat Berbasuh Kaki ataupun Buri Pu'o dalam bahasa Tutong, ialah adat resam yang mana kaki pengantin perempuan akan dituangkan air. Barang-barang yang diperlukan untuk acara ini ialah air, parang dan batu pengasah. Ketika duduk di atas pelamin, kedua-dua pengantin itu hrus membuka kasut di kaki kanan masing-masing. Dengan beralaskan batu pengasah, pengantin lelaki itu akan meletakkan kaki kanannya di atas kaki kanan pengantin perempuan. Selepas itu, keluarga pengantin lelaki akan memulakan acara basuh kaki tersebut diikuti dengan keluarga perempuan. Selesai sahaja, mereka akan memberikan pemberian duit ataupun barang kemas. Dahulu, lazimnya mereka akan memberikan haiwan ternakan ataupun pokok buah-buahan sebagai hadiah perkahwinan.

sumber daripada | http://2.bp.blogspot.com/

Friday, July 9, 2010

PERTANDINGAN BLOGGING 2010 - ENTRI KETUJUH

SEMASA BERSANDING


ADAT ISTIADAT BERSANDING
Adat Istiadat Bersanding berlangsung apabila kedua-dua pengantin itu akan duduk di atas Singgahsana ataupun Pelamin agar para jemputan yang hadir dapat melihat Raja dan Permaisuri sehari itu. Lazimnya, Istiadat Bersanding itu dilakukan di kediaman pihak perempuan. Para jemputan itu juga akan bersalaman dan selepas itu akan menerima buah tangan. Di Brunei, pada sebelah pagi, pengantin lelaki akan mandi air wangi dan akn makan terlebih dahulu. Kemudian, dia akan dibawa bersalaman dengan para tetamu yang hadir. Setibanya pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan, mereka harus membuat 3 pusingan yang dikenali sebagai Pusingan Naga. Selepas itu, upacara pembacaan Selawat sebanyak 3 kali dan Doa Selamat yang diikuti oleh para hadirin.


Font size

sumber daripada | http://4.bp.blogspot.com/


Thursday, July 8, 2010

PERTANDINGAN BLOGGING 2010 - ENTRI KEENAM

ADAT PENYERAHAN BERIAN
Adat Penyerahan Berian ialah amalan yang mana pihak lelaki akan melantik rombongan lelaki untuk ke kediaman pengantin perempuan. Mereka akan menghantar Berian iaitu dulang hantaran dan Mas Kahwin.
Adat Penyerahan Wali pula ialah tradisi yang mana bapa pengantin perempuan akan diiringi dua orang saksi untuk berjumpa dengan Jurunikah bagi menyerahkan kebenarannya untuk menjalankan akad nikah.





ADAT AKAD NIKAH
Adat Akad Nikah ialah upacara Ijab dan Kabul dalam agama Islam. Ini untuk mengisytiharkan bahawa pasangan tersebut sudah sah Suami dan Isteri. Mereka akan memakai Baju Melayu. Dalam upacara tersebut, pengantin lelaki akan bersalaman dengan Tok Kadi untuk melangsungkan Ijab dan Kabul.








sumber daripada | http://1.bp.blogspot.com/
http://1.bp.blogspot.com/

Wednesday, July 7, 2010

PERTANDINGAN BLOGGING 2010 - ENTRI KELIMA

ADAT BERINAI
Adat Berinai pula ialah tradisi yang mana pengantin akan menampalkan tangan dan kaki mereka dengan inai. Upacara sebegini diadakan pada tengah malam sebelum acara persandingan diadakan. Mereka akan berinai di kediaman masing-masing. Upacara berinai ini dilakukan oleh Mak Andam yang dipanggil Pengangun. Si pengantin akan berdiri di atas katil dan disuruh untuk duduk di atas katil. Pengangun akan menunjukkan tapak tangannya dengan hajat berdoa. Kemudian dia akan membaca doa. Selepas itu, si pengantin akan dibawa berjalan mengelilingi katil sebanyak tiga kali dan seterusnya duduk di tempat yang telah dikhususkan.






sumber daripada | http://1.bp.blogspot.com/

Tuesday, July 6, 2010

PERTANDINGAN BLOGGING 2010 - ENTRI KEEMPAT

Adat Perkahwinan Puak Tutong Di Brunei

Sebelum Bersanding

Banyak adat istiadat perkahwinan Melayu Puak Tutong yang aku pelajari semasa program Penyerapan ke Brunei Darussalam. Apa yang aku pelajari tentang adat istiadat perkahwinan ini, ia dibahagikan kepada empat upacara sebelum majlis persandingannya.

ADAT BERBEDAK
Pertama, pihak pengantin akan menjalani Adat Berbedak.
Adat Berbedak dilakukan oleh kedua-dua pengantin yang akan dibedak di rumah masing-masing dengan tujuan untuk menyerikan wajah kedua-dua pengantin. Selepas berbedak, mereka akan melangsungkan upacara mandian. Pengantin akan didudukkan di atas papan yang berlapik sambil dikelilingi empat lilin. Mereka akan mandi air 'Langir', air 'Bunga Melor' dan bercampur dengan air 'Kalambiji'. Air ini bertindak sebagai pembersih dan minyak wangi badan. Selepas upacara tersebut, si pengantin harus berpakaian putih. Pada majlis masuk berbedak, si pengantin harus memakai pakaian tradisi Melayu.

sumber daripada | http://3.bp.blogspot.com/

Monday, July 5, 2010

PERTANDINGAN BLOGGING 2010 - ENTRI KETIGA

LESTARIKANLAH BUDAYA MELAYU KITA....

Salah satu budaya Melayu yang masih kekal hingga kini terletak pada cara kita berpakaian. Pakaian Tradisional Melayu melambangkan sopan-santun, tatasusila dan adat resam kita sebagai Pewaris Orang Melayu kelak.

Contoh pakaian tradisional orang Melayu:

Wanita mempunyai lebih kurang enam jenis baju kurung iaitu Baju Kebaya Labuh dan Pendek, Baju Kurung Cekak Musang, Baju Kurung Kedah, Baju Kurung Labuh dan Baju Kurung Teluk Belanga.

Lelaki pula hanya ada lebih kurang tiga jenis baju Melayu iaitu Baju Melayu, Baju Cekak Musang dan Baju Teluk Belanga.

Mereka juga boleh memadankan Celana, Kain Samping, Kain Sarung dan Selendang pada pakaian mereka.

Perhiasan Diri juga melambangkan identiti kita sebagai orang Melayu. Terdapat sembilan jenis perhiasan yang digunakan iaitu Caping, Cincin, Dokoh, Gelang, Kerongsang, Pending, Perhiasan Kepala, Subang dan Tali Pinggang.

Hingga kini terutama sekali pada hari Perkahwinan dan Hari Raya, kita boleh melihat ramai orang Melayu akan memakai pakaian Kebanggaan kita. Malah di lain hari juga kita dapat melihat orang kita memakai pakaian tradisional kita.

~Budaya Kita Tidak Akan Hilang Atau Lesap Sebegitu Seandainya Kita Mempertahankannya~

sumber daripada | http://malaysiana.pnm.my/02/0201mel_pengenalan.htm

Sunday, July 4, 2010

PERTANDINGAN BLOGGING 2010 - ENTRI KEDUA

Melayu, Asal Usulnya dan Jumlahnya

Melayu merujuk kepada nama bangsa atau bahasa setelah adanya Kesultanan Melayu Melaka.

Asal Usul Melayu
Menurut lelaman web Wikipedia, nama Melayu berasal dari nama Sungai Melayu di hulu Sungai Batang Hari, Sumatra. Kerajaan Melayu telah wujud sejak 1500 tahun dahulu ataupun semasa wujudnya Kerajaan Srivijaya. Perkataan Melayu juga berasal daripada perkataan Sanskrit 'Malaya' yang membawa maksud bukit atau tanah tinggi.

Asal Usul Bangsa Melayu
Asal usul bangsa Melayu merupakan sesuatu yang sukar untuk ditentukan. Tetapi terdapat dua teori mengenai asal usul bangsa Melayu iaitu Bangsa Melayu yang berasal dari Yunnan dan Bangsa Melayu yang berasal dari Nusantara.

Jumlah Penduduk Melayu di Nusantara
Malaysia mempunyai jumlah penduduk Melayu seramai 12.3 juta. Brunei Darussalam pula anggaran penduduknya 0.25 juta. Di Indonesia, sejumlah 6.9 juta ialah penduduk Melayu. 1.9 juta orang Melayu juga menetap di Thailand. Singapura pula anggaran penduduk Melayunya adalah sekitar 0.45 juta.

sumber daripada | http://ms.wikipedia.org/wiki/Orang_Melayu

Thursday, July 1, 2010

PERTANDINGAN BLOGGING 2010 - ENTRI PERTAMA

Aku anak jati orang Melayu


Orang Melayu bagiku ialah orang yang menjaga Tatasusila dan Beradab. Bersopan santun dan tuturan bahasanya berlapis. Makan makanan apa-apa pun, balik ke rumah tetap makan belacan dengan nasi ulaman. Tidak dapat dipisahkan lagi walau apa-apa pun. Maklumlah, kata-kata Pahlawan kita, Hang Tuah; 'Tidak akan Melayu Hilang Di Dunia'.

Contohnya aku...
Aku minat lagu-lagu dari Korea Selatan dan Jepun.
Aku menonton drama-drama dari Korea Selatan.
Aku gemar membaca dan menonton kartun Jepun.
Aku tetap memilih Novel Melayu sebagai santapan harianku.
Aku tetap menggunakan Bahasa Ibunda Kebanggaanku,
Dimana aku berada.

Orang Melayu lidahnya pekat bertutur Bahasa Ibunda. Pergi ke Eropah, Afrika, Amerika dan Asia, tetap lidah ingin menyebut perkataan Melayu. Lidah akan kelu seandai tidak bercakap Melayu. Melayu dan Kita tidak dapat dipisahkan. Bagaikan Isi Dengan Kuku.

Inilah Orang Melayu. Begitulah diriku sebagai anak Jati Melayu.

Bagi Pertandingan Blogging tahun ini, aku mahu menumpukan perhatian pada Adat Perkahwinan dan Pakaian atau Busana orang Melayu. Ini kerana sehingga hari ini, adat perkahwinan dan busana orang Melayu masih lagi kelihatan dalam majlis-majlis ataupun perayaan. Tidak dapat dipisahkan lagi. Aku akan mengetengahkan topik-topik yang dipilih dan mencari maklumat tentangnya. Tunggulah nanti!